Monday, November 9, 2009

KENANGAN AKU: UM 2006/2009

Apa jenis posing pun tak tau.asal muka masuk dah la
Ceramah lagi.kali ni tak boleh tidur.DANGER,amaran dari penceramah

Ummu, masih macam dulu juga. satu inci pun tak berubah. sangat disenangi


mari posing sebelum dengar ceramah.Ramai yang tidur






sudah aku bilang, belum sedia.tetap juga diambil.lihat sudah pejam mata dia




Mungkinkah ada lagi gambar selepas ni dengan topi yang lain pula









Achik(jiwa), aku, Emak(nyawa dan hati) ayah (jantung)






Friday, November 6, 2009

SISI LELAKI DAN PEREMPUAN AKU


Cerita ini aku tujukan khas kepada sahabat lelaki aku yang pernah menjadi teman sepermainan sewaktu kecil. (Ali,Loji,Amal,Awie). Kalian sekarang sudah menjadi manusia.


Hari ini aku mahu berkongsi cerita zaman kanak-kanak aku yang sungguh lasak dan ganas. Semasa zaman kanak-kanak, aku lebih suka berkawan dengan budak-budak lelaki. memandangkan aku mempunyai enam orang abang, sedikit sebanyak corak hidup mereka aku ikut. Aku sering dibawa pergi memancing dan menimba ikan dengan mereka. Berbalik semula kepada kawan-kawan lelaki aku ni, mereka berempat suka melakukan aktiviti bersama, termasuk aku. Kalau pergi memancing, aku pasti diajak bersama. (Mungkin mereka nampak aku sebagai lelaki, sebab aku tak suka main pondok-pondok dengan budak perempuan).


Dijadikan cerita, Amal dan Ali ni adik beradik. Sungguhpun mereka ini suka berjalan sehingga tak ingat nasi di rumah, tapi sebelum keluar rumah, mereka harus menyiapkan kerja rumah. (kalau tak pasti kena balun dengan maknya). Selepas makan tengahari barulah operasi yang kami rancang sejak semalam dimulakan. Loji anak kecil yang keluarganya berasal dari Melaka. Awie pula berasal dari Terengganu. (Sikit sahaja aku cerita, sebab tak ada apa yang menarik untuk diceritakan tentang mereka). Aku budak perempuan persis lelaki yang berasal dari Pahang, mempunyai rambut yang pendek ketika ini. pakaian aku, tak mampu diceritakan. Emak melihat pasti menggeleng kepala. Siang malam dengan seluar sukan. Kain Batik!, tak sekali pun aku cuba pakai, sampai sekarang pun kain batik yang aku bawa digunakan untuk mengeringkan rambut. (kainlah batik lalalala...kainlah batik lalalala).


Lokasi permainan kami yang strategik terletak di paling belakang, belakang rumah kami ada paya, dibelakang paya ada kubur di belakang kubur ada ladang sawit. Itulah tempat permainan kami. Ladang sawit,(bangga kami anak felda). Apa sahaja permainan, bermula dari palang tiga hingga bermain layang-layang, semua aku sertai dengan kawan-kawan lelaki aku. Main layang-layang semasa semua pokok sawit telah ditebang. Mana mungkin aku boleh bermain layang-layang sewaktu pokok sawit masih gagah berdiri. itu kerja gila namanya). Bermain layang-layang sehingga Maghrib menyebabkan aku dimarahi ayah (padan muka sendiri). Aku tak kenal erti serik. Serasa bosan bermain layang-layang, aku mengajak kawan bermain di sebatang parit yang terletak di belakang rumah. Parit ni memang banyak ikan dan tidak terkecuali banyak lintah (aku dah mula rasa geli).


Dipendekkan cerita, budak-budak lelaki empat orang ni sudah berkubang didalam parit, aku masih was-was untuk terjun sama. Memikirkan lintah yang galak menonjolkan diri mereka dipermukaan air. Aduh...besar-besar pulak tu. Amal dan Loji tidak putus-putus mengajak aku sama-sama berkubang dengan mereka. Suasana di kawasan itu kelihatan seperti sekawan kerbau berkubang, penuh lumpur (hem...tidak termasuk aku ya kawan-kawan). Setelah lama dipujuk, akhirnya, dalam keadaan berani-berani takut, aku terjun ke dalam parit tersebut. Belum sampai satu saat aku naik semula. Lintah sebesar jari kelengking melintas depan mata aku. Menggelabah aku dibuatnya. Budak-budak hingusan itu sudah malas mahu memujuk aku, mereka terus berendam. (Aku memang suka berkubang itupun jika tak ada Alien lain dalam air). Sedang kami seronok bermain air lumpur yang busuk-busuk wangi tu, terdengar jeritan seseorang dari atas.


"Alamak, Big Boss dah sampai, masak kali ni." Aku bercakap sambil jari dimasukkan ke dalam mulut.


Big Boss itu merupakan emak kepada Awie, orangnya memang garang, tapi tak segarang emak Ali dan Amal. Big Boss datang dengan membawa ranting kayu yang agak besar. Dia turun dari bukit dengan pantas. (aku melihat dia seperti seorang wanita yang siap sedia untuk berperang dengan musuh. ha...ha...ha...teruklah kau sekali ni Awie). Awie yang menyedari keadaan dirinya yang terancam segera berlari keluar dari parit, menyambar bajunya dan seperti pelesit dia menghilangkan diri. Aku yang melihat juga tidak menunggu lama. Aku yang merupakan jaguh lari pecut 100 dan 200 meter mengorak langkah pantas meninggalkan Amal dan Ali yang keras kaku tidak bergerak. Dari jauh aku lihat mereka dimarah dan dipiat telinga (mereka tak disebat sebab Big Boss tak nak pukul anak orang walaupun emak mereka dah benarkan). Aku yang telah selamat terus pulang ke rumah dan mandi. Emak dan ayah yang sedia maklum dengan habitat aku, hanya memandang dan menasihati. (ye...ye...tak kena pukul). Bagaimana mana dengan Loji? Hem...budak tu siang-siang lagi dah lari.


Petang itu aku menerima perkhabaran, Awie selamat menerima hukuman sebat daripada Big Bossnya (uhuk...uhuk...kesiannya). Amal dan Ali tidak terkecuali daripada menerima hukuman daripada ayah mereka. Aku dan Loji yang berada di zon selamat, tidak terkena apa-apa hukuman (fuh...selamat). Walaupun sudah menerima ganjaran daripada perbuatan berkubang seperti kerbau, aktiviti kami tidak pernah berhenti di sini. Setiap perkara yang baru kami teroka untuk memenuhi tuntutan jiwa kanak-kanak yang kami miliki.


Sekarang aku sudah dewasa, usia yang menginjak 23 tahun, jauh sudak aku tinggalkan zaman kanak-kanak. Rambut pun tidak pendek seperti dahulu.Pakaian aku juga tidak seperti budak lelaki (tapi masih tidak suka dan tidak pandai memakai kain batik). Kawan lebih banyak dengan budak perempuan. Aku sekarang agak malu mahu berkawan dengan budak lelaki. Mungkin kerana sudah dewasa, sikap malu bertambah menebal. Tapi apabila berkaitan soal kerja, aku tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mereka. Mencari teman lelaki, jauh sekali aku ingin fikirkan. Emak tidak lagi menggeleng kepala setiap kali melihat aku berpakaian. Tetapi hingga kini emak masih hairan kenapa aku masih tidak suka memakai kain batik. Semua kain batik emak aku jadikan pengering rambut. Amal, Ali, Loji dan Awie, kalian sekarang sudah menjadi manusia bukan. Aku harap kalian jangan bazirkan usia muda dengan perkara yang boleh membuatkan emak dan ayah kalian bersedih. Nur Qaseh rindu gurauan dahulu. Nur Qaseh rindu masa lalu. Nur Qaseh segar dengan kenangan kita masa lalu.

Thursday, November 5, 2009

HUJAN, ACHIK DAN MARYAMAH KARPOV


Hujan semakin kerap turut sejak kebelakangan ini. Semalam aku terbangun dari tidur kerana terasa sangat sejuk. Lekas-lekas aku tarik selimut dan menutup kaki dan badan. Aku pandang kawan di sebelah, Masyaallah, tidurnya bukan main buas lagi. (anak saudara aku boleh tidur tertib). Mujur dia tak melepasi sempadan tilam aku, kalau tidak mahu aku seret dia diam-diam dan letak depan pintu bilik sewa kami.(jangan beritahu dia rancangan ni, kalian diam-diam saja sudahlah).


Lupakan sebentar niat jahat aku, kembali semula kepada hujan, di kawasan Kajang, hujan dari pagi hingga ke petang. Sejuk bukan main.Tapi tidaklah banjir pula. Cakap pasal banjir, semasa aku berada di tahun satu, masih bergelar pelajar UM, ketika cuti semesta, Jengka telah mengalami banjir yang agak serius sehingga mereka yang tinggal di Ulu Jempol, Jengka 2,3,4,5,6,7 terperangkap ditengah-tengah. Semua jalan utama dinaiki air, dalam masa yang sama, aku menerima khabar tentang kemalangan abang di Kuala Lumpur. Ini kes langgar lari, selepas abang aku dilanggar, manusia mangkuk hayun tu telah melarikan diri (sampai bila kau boleh lari). Aku dan mak tak punya peluang untuk pergi ke melihat abang. Mujur sebelum banjir teruk, abang Ngah dan Andak sudah pergi dahulu ke Kuala Lumpur.


Mereka khabarkan Achik cedera di bahu, dan tangan. Selepas keluar hospital, Achik dibawa pulang ke Jengka untuk berehat dalam dua minggu. Aku seperti biasa, membantu mana yang patut. Potong kuku dia, papah dia nak berjalan, makan...em...dia suap sendiri. Memang dia pesen tak reti potong kuku sendiri. Bila dah beristeri, isteri dia pula yang ambil kontrak potong kuku dia. Kalau kalian nak tahu, aku dan Achik masa kecil dulu kami ni tak sebulu. Suka bergaduh, lawan-melawan, ejek-mengejek. Bila dah besar ni, kami kamceng macam kancing gigi la. Sama minat, suka baju belang-belang, suka warna putih, oren, merah dan hitam.


Achik banyak berubah sejak beberapa tahun ni. Dia sekarang banyak habiskan masa dengan memondok di sebuah pondok pengajian agama di Bentong. Achik bukanlah jahat semasa remaja dia, tapi nakal yng masih terkawal. Bila dia semakin dewasa, dia memilih untuk jadi manusia yang lebih baik. Aku nampak dia berubah menjadi manusia yang bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami apabila dia berkahwin .(kakak ipar aku Azura manusia yang bertuah kerana dapat Achik). Dalam sibuk dia mendalami ilmu agama, tanggungjawab pada mak dan ayah tetap terjaga. Achik memang suami yang ideal la. Doa aku agar Achik dan Kak Zura berkekalan hingga ke akhir hayat (lekas-lekaslah berikan aku anak sedara yang latest).


Maryamah Karpov karya Andrea Hirata, aku sedang tekun membacanya. Baca muka surat pertama, aku dah ketawa seorang. Aduhai lucu tahap gaban cerita dia. (rambut, kumis, dan alisnya hangus sehingga dia seperti pendekar Shaolin), itu baru sedikit. Pada mulanya, aku bukan berniat untuk membeli Maryamah Karpov, cita-cita asal aku mahu memiliki Sang Pemimpi dan Edensor, tetapi sudah kehabisan stoknya. oleh kerana tidak mahu kecewa, aku sambar sahaja buku ini dan dibawa pulang.


Kalian mesti tertanya-tanya, apa persamaan antara Hujan, Achik dan Maryamah Karpov. Aku tulis semua ini kerana ia sebahagian daripada perkara yang aku sayang dan hargai. Pertama, Hujan, aku suka hujan, turunlah selama mana atau selebat mana sehingga banjir, aku tetap suka hujan (walau baju aku susah nak kering). Kedua AKU SAYANG ACHIK, sebab dia abang aku (teman aku bergusti masa kecil). Kerana Achik kemalangan semasa hujan, peristiwa itu buat aku dan Achik bertambah rapat. Ketiga, Maryamah Karpov merupakan novel kegemaran aku yang dibaca ketika musim hujan. (menambah lagi daya imaginasi untuk menyelami cerita Andrea Hirata ni).


Hujan, Achik dan Maryamah Karpov, perkara dan manusia yang buat aku sentiasa damai, terisi dan dihargai. Hujan terus mencurah turun ketika cerita ini aku siarkan di blog milik Nur Qaseh.

Wednesday, November 4, 2009

AKU MAHASISWA YANG BAGAIMANA?


Maaf, semalam aku tidak punya kesempatan untuk menulis apa-apa, kerana pergi ke suatu tempat. Mencari kembali nostalgia yang sudah lama tertinggal.


Semalam aku bertemu dengan seseorang yang kalau disebut namanya pasti akan mengembalikan semula ingatan kalian kepadanya. Manusia yang unik dan melahirkan pelajar yang pelik. Aku teringat kata-katanya semalam, pelajar dahulu dilahirkan dengan sikap yang pelik-pelik (bukan pelik kerana mereka suka tidur di tepi jalan atau menjerit-jerit tak tentu fasal). Pelik dengan keberanian untuk menonjolkan sesuatu dan pelik dengan idea mereka.(kawan aku salah seorang manusia yang pelik dilahirkan oleh individu tersebut).


"Sekarang ramai manusia yang apabila tamat pengajian, menjadi seperti kupu-kupu, rama-rama dan semut kerengga.( Jangan salahkan sesiapa, tepuk kepala tanya diri). Aku juga terfikir, adakah aku sebahagian daripada serangga itu. Kalian pula bagaimana, adakah merasa diri seperti rama-rama, kupu-kupu atau sedikit parah, masih duduk selesa didalam kepompong keluarga.


Fikirlah apa yang kalian mahu jadi. Jangan nanti menyesal, jangan sampai sijil itu sedikit-sedikit rosak kerana dibiarkan menjadi makanan anai-anai.


Monday, November 2, 2009

NUR QASEH TIDAK PETAH BERBICARA PERIHAL INI


Dengarlah celoteh aku yang tak seberapa ini. Di bawah ini ayat yang aku ambil daripada Hilal Asyraf. Indah sungguh bahasanya. Mungkin tidak kena langsung dengan apa yang aku tulis.


Kalau CINTA kita benar, dasarnya adalah IMAN, maka kalau kita tidak dapat orang yang kita suka. Maka rasa sedih kita tidak akan berlarutan. Kerana kita jelas akan niat dan matlamat, kenapa kita bercinta dengan lelaki/perempuan itu, kita bukan bercinta kerana lelaki/perempuan itu, kita bercinta kerana ALLAH S.W.T. -Hilal Asyraf


Jangan ditanya aku soal cinta muda mudi, kurang fasih aku tentang ini. Tapi aku sekadar ingin berkongsi. Aku terlebih dahulu ingatkan diri sendiri, takut-takut hanyut bila berada dalam situasi begini.


Kalian agaknya bagaimana, pernah melalui fasa cinta? (itu kalian sendiri yang jawab,kalau aku jawapannya tidak pernah sama sekali). Aku amat gemar membuka blog milik SaifulIslam, suka cara penyampaian yang mudah. Mata ini tertangkap pada satu tulisnya dahulu ”Erti Sebuah Perkahwinan”, comel benar ceritanya. Bermula bagaimana beliau berkenalan dengan isteri hingga ke kehidupan rumah tangga hingga ke satu yang pasti, nasihat daripada beliau banyak meyakinkan aku. Apa yang aku yakin? Maksudnya aku yakin, cinta selepas kahwin lebih baik, benar bukan.

Mari dekat sikit (tapi berikan sedikit ruang supaya mudah untuk aku menarik nafas). Aku ingin bercerita tentang diri sendiri, Ayah sedari awal lagi sudah mengingatkan aku agar jangan bercinta semasa belajar. Ayah kata, kalau bercinta semasa belajar, kita akan gagal. Aku yang pada waktu itu berumur 14 tahun, sudah mampu untuk memahami. Semasa tu, aku mengiyakan kerana pernah mempunyai teman yang menghadapi kegagalan dalam akademik kerana masalah cinta. Tapi itu bukan bermakna, selepas habis belajar aku akan sibuk mencari cinta. Apabila kaki mula melangkah ke universiti, aku dikelilingi teman yang banyak membantu agar diri ini tidak kosong.(manusia yang bernama Ummu Zainab Al-Abidah, manusia yang banyak menjadi pendorong untuk aku teguh pendirian hingga kini). Setiap masa aku terisi dengan program yang pelbagai, salah satunya aku pernah mengikuti bengkel penulisan yang dikendalikan oleh En Fauzul dari PTS, program tersebut berlangsung di fakulti Kejuruteraan. Malamnya pula, aku ke musolla, pagi dengan kelas dan petang aktiviti riadah bersama teman (paling tidak pun aku tidur dalam bilik, itu jika benar-benar tiada apa yang nak dibuat). Bila masa aku nak memburu cinta manusia yang bernama lelaki.

Maaf, aku daif untuk sebahagian perkara. Bagi teman-teman yang sedang bercinta, kalau boleh jangan terlalu lama menyulam cinta, bimbang kalau terlanjur perbuatan(aku tidak mendoakan kalian berbuat jahat). Teringat aku akan sebuah kejadian yang berlaku di Jengka, Pahang, tempat kelahiran aku. Kepulang aku disambut dengan kisah pembuangan bayi di stesen bas tempat aku selalu berulang-alik dari Pahang ke Kajang. Bayi yang dijumpai dalam bungkusan dan menangis (mungkin kerana sejuk digigit embun pagi). Sehingga kini, siapa gerangan manusia yang melakukan perbuatan itu, tidak dapat dikesan.(apa agaknya perasaan mereka sewaktu nekad untuk membuang bayi tersebut, pada yang buang bayi tersebut, kau punya jawapannya).

Cukup rasanya aku berkata tentang cinta, cetek benar rasanya idea bila bercerita tentang cinta. (aku tidak pandai mengarang cerita seperti Ayat-Ayat Cinta, kerana hati aku lebih dekat dengan Tunggu Teduh Dulu. Aku minta jangan samakan dua novel ini. Pedih rasanya untuk mendengar). Andai punya idea lagi akan aku sambung cerita ini. Beri masa untuk aku mengumpul bahan, moga tulisan seterusnya lebih baik dan terisi.(malu rasanya dengan tulisan hari ini, aku nekad untuk terbitkan di blog). Kalian jangan marah ya.

Aku sedang mencari sesuatu. Andai apa yang diimpi tak sampai, aku harap kau diluar sana masih seperti yang aku kenal dahulu. Dalam soal ini tidak perlu terburu-buru.

NUR QASEH

Sunday, November 1, 2009

MELODI SENDU: SAAT KU HULUR GAJI PERTAMA






Hujung bulan aku tunggu dengan sabar. Bukan aku seorang sahaja yang tidak sabar, mana-mana pekerja samada cikgu, jururawat atau kakitangan kerajaan yang lain pasti tertunggu-tunggu ketibaan hujung bulan. Aku nekad, banyak atau sikit gaji yang diberikan, hajat untuk balik kampung tetap akan diteruskan. Panggilan telefon dari kampung menambah rasa gusar, suara emak yang lemah menyebabkan aku semakin tidak tentu arah.

"Cepatlah masa berjalan. Aku nak balik." aku bermonolog.

Meja tempat kerja aku jadikan sandaran kepala yang serabut ditujah bermacam-macam tanggapan yang tidak baik ( aku tak mahu berfikir buruk, ia menyebabkan aku mudah marah dan akan menjadikan orang lain mangsa akibat kerisauan aku). Selepas waktu rehat aku diberikan gaji dan aku tatap gaji pertama aku dengan rasa syukur. Selesai semua urusan kerja, aku pulang dan merehatkan badan menunggu hari esok. Aku akan pulang lagi mengadap emak dan ayah. (itu pasti)

Pagi itu langkah aku disambut dengan rintik hujan yang seakan sama berkongsi perasaan risau dan sedih. Aku siap membawa beg sandang yang besar, tetapi di dalamnya kosong. Sampai di perhentian, tidak aku menunggu lama, bas sampai dan aku dibawa lari meninggalkan Bandar Teknologi Kajang menuju ke Bandar Kajang. Dari bandar Kajang aku terus menuju ke stesen KTM dan keretapinya siap siaga menantang penuh rindu kedatangan aku. Aku tak mengambil masa yang lama untuk sampai ke Pekeliling. Tepat pukul sembilan, aku telah berada didalam perut bas yang menuju ke Pahang.

"Ya Allah, sungguh aku terasa kau mendengar doaku," tangan kecil ini terus menyeka air mata yang tiba-tiba tumpah. DIA permudahkan perjalanan aku. Aku terus menangis tanpa peduli manusia-manusia yang turut sama berada dalam kenderaan tersebut. Biar aku menangis, moga bila melihat wajah emak, aku akan kelihatan kuat dan tabah untuk bersamanya. Aku sampai tepat jam 11.30 pagi. Ayah siap menyambut kepulangan aku. Aku ambil tangan ayah yang besar, yang sering diletakan di atas kepala aku sejak kecil hingga sekarang. Aku cium lembut tangannya dan pipi kedut miliknya. Kereta ayah bergerak meninggalkan perhentian bas yang akan aku pijak lagi pada hari esok.

Untuk kesekian kali aku pijak lagi lantai rumah, minggu ke lima kepulang aku, laju kaki ini melangkah menuju ke arah emak, dia terbaring dan tersenyum memandang. Aku capai tangannya dan mencium tangan, dahi, pipi yang panas 'demam'. Kami berpelukkan dan menangis.
”Adik, tolong emak kejap.” Aku yang berada didapur berlari-lari anak menuju ke arahnya.

”Tolong papah, emak nak ke bilik air.” Tanpa lengah aku terus memaut badan
emak dan mengagahkan diri mengangkat badan emak. Tiba-tiba emak melepaskan tangan dan memandang tepat ke muka aku sambil tersenyum. ku melihat penuh dengan tanda tanya.

”Kesian anak emak. Muka makin cengkung, badan makin kurus.”tangan emak memegang muka aku. Aku membalas dengan senyuman yang tipis.

”Panggil abang. Mintak dia tolong, emak risau, takut adik pulak yang jatuh sekali.”

Saya pun senyum dan memanggil abang untuk membantu. Mujur aku dikurniakan abang yang ramai, enam orang semuanya. Kalau dahulu aku kadang-kadang terfikir, kenapa aku lebih banyak abang daripada kakak. Nah...jawapannya aku peroleh sekarang. (setiap kali waktu memasak aku akan tertekan sebab abang-abang tak pandai bekerja didapur,semua aku dan kakak yang perlu buat). Melihat keadaan emak yang perlu dipapah untuk bangun, aku nekad membawa emak ke hospital. Emak bersetuju dan ia memberikan sedikit kelegaan kepada aku, abang dan ayah, moga sakit emak akan berkurangan.

Malam itu, aku tidur sebelah emak, esok emak akan dihantar ke hospital. Aku dekati emak dan kami berbual-bual. Suara emak perlahan sahaja, tidak lantang seperti sebelum ini.(sebab itu aku kurang bercakap, bimbang suara ni terlebih lantang). Ketika sedang berbual, aku membuat satu permintaan yang menyebabkan emak mengerutkan dahinya.

”Emak, bagi tangan kejap.” aku meminta

”Kenapa?”

”Mintak la, kejap je.”
Emak menghulurkan tangan dan aku sambut. Aku masukkan sesuatu ke dalam tangannya dan aku tutup kemas. Emak yang menyedari perlakuan aku dan terus menarik tangan. Tapi aku tetap pegang tangan emak dan terus mencium tangannya.

”Adik nak kongsi gaji pertama dengan emak. Sikit mana pun gaji ni, adik tetap nak kongsi. Bagi adik rasa macam mana rasanya beri duit pada mak dan nak berkat dari emak.”

Emak yang memandang terus menangis, dan terus menarik aku dalam pelukannya. Tiba-tiba emak menangis dan aku yang memang mudah menangis juga turut menyambut tangisan tu. Kami sama-sama hanyut dalam lautan air mata kerana terlalu sedih. Aku menangis kerana melihat keadaan emak dan aku pasti emak menangis bukan kerana wang, gaji aku yang seciput itu, tetapi lebih daripada itu.(mak lebih tahu tangisannya kerana apa, ada ayat yang tak boleh aku tuliskan disini kerana terlalu peribadi dan kalau aku tuliskan, bimbang ia tidak lagi menjadi sesuatu yang istimewa untuk aku dan emak).

Pagi Ahad itu aku mulakan dengan solat dan mengaji, mak masih terbaring di atas katil. Ayah didapur memasak dan memberi makan pada cucu angkatnya yang berbulu putih (seekor kucing siam yang ayah kutip dari ladang, berwarna putih dan sangat pemalas tangkap tikus, selain itu, dia sangat kuat makan dan mempunyai saiz badan yang besar macam anak gajah, Putih...kau memang tak senonoh). Selesai solat, aku dan abang bawa emak ke bilik air dan mandikannya. Emak aku letakkan di atas kerusi, perlahan-lahan aku siramkan air suam ke kakinya, badan dan kepala (orang cakap kalau mandi dari kaki, dapat kurangkan panas dalam badan). Aku sabun badan emak, dan gosok rambut emak. Semuanya telah selesai dan aku siapkan emak, pakaikan bedak, sikat rambut, pakai baju, kain dan tudung.

Aku sampai ke hospital tepat pukul 9 pagi dan terus membuat pendaftaran. Abang membawa emak masuk ke bahagian kecemasan dengan kerusi roda. Aku sabar menanti sehingga doktor sampai. Tepat jam 11 pagi, emak di bawa masuk ke wad. Seseorang perlu menunggu emak, aku mahu menunggu tapi emak tak benarkan. Katanya aku baru bekerja, kena rajin, tunjukkan kesungguhan pada ketua. Aku pun ikut je cakap mak. Kakak dan abang aku dengan bangga menawarkan diri untuk jaga emak. Diaorang berterusan memujuk aku supaya pulang dan bekerja. Kalau ada jaminan baru aku boleh balik dengan hati sedikit lapang.

Lepas emak selesai makan, buang air dan minum, aku balik untuk berkemas. Pukul 3.30 petang aku akan naik bas untuk pulang ke Kajang. Sebelum naik bas, aku singgah hospital sekali lagi, aku bawa bubur nasi yang dimasukkan macam-macam sayur. (kakak ipar yang masak). Sebelum pergi, aku cium emak sekali lagi. Emak genggam erat tangan aku. Kami menangis sekali lagi. Aku terus berjalan dan sambil pandang mak sampai ke hujung pintu. Petang tu, aku balik dengan dihantar oleh ayah. Aku lambai ayah dan kami berpisah di situ.

NOTA: Aku nekad untuk balik lagi minggu depan. Akan terus begini sehingga emak betul-betul sihat. Insyallah. Kalian tolong doakan emak aku sihat macam dulu. Macam dulu-dulu, sebab ada lagi yang aku mahu kongsikan dengannya.