Sunday, November 1, 2009

MELODI SENDU: SAAT KU HULUR GAJI PERTAMA






Hujung bulan aku tunggu dengan sabar. Bukan aku seorang sahaja yang tidak sabar, mana-mana pekerja samada cikgu, jururawat atau kakitangan kerajaan yang lain pasti tertunggu-tunggu ketibaan hujung bulan. Aku nekad, banyak atau sikit gaji yang diberikan, hajat untuk balik kampung tetap akan diteruskan. Panggilan telefon dari kampung menambah rasa gusar, suara emak yang lemah menyebabkan aku semakin tidak tentu arah.

"Cepatlah masa berjalan. Aku nak balik." aku bermonolog.

Meja tempat kerja aku jadikan sandaran kepala yang serabut ditujah bermacam-macam tanggapan yang tidak baik ( aku tak mahu berfikir buruk, ia menyebabkan aku mudah marah dan akan menjadikan orang lain mangsa akibat kerisauan aku). Selepas waktu rehat aku diberikan gaji dan aku tatap gaji pertama aku dengan rasa syukur. Selesai semua urusan kerja, aku pulang dan merehatkan badan menunggu hari esok. Aku akan pulang lagi mengadap emak dan ayah. (itu pasti)

Pagi itu langkah aku disambut dengan rintik hujan yang seakan sama berkongsi perasaan risau dan sedih. Aku siap membawa beg sandang yang besar, tetapi di dalamnya kosong. Sampai di perhentian, tidak aku menunggu lama, bas sampai dan aku dibawa lari meninggalkan Bandar Teknologi Kajang menuju ke Bandar Kajang. Dari bandar Kajang aku terus menuju ke stesen KTM dan keretapinya siap siaga menantang penuh rindu kedatangan aku. Aku tak mengambil masa yang lama untuk sampai ke Pekeliling. Tepat pukul sembilan, aku telah berada didalam perut bas yang menuju ke Pahang.

"Ya Allah, sungguh aku terasa kau mendengar doaku," tangan kecil ini terus menyeka air mata yang tiba-tiba tumpah. DIA permudahkan perjalanan aku. Aku terus menangis tanpa peduli manusia-manusia yang turut sama berada dalam kenderaan tersebut. Biar aku menangis, moga bila melihat wajah emak, aku akan kelihatan kuat dan tabah untuk bersamanya. Aku sampai tepat jam 11.30 pagi. Ayah siap menyambut kepulangan aku. Aku ambil tangan ayah yang besar, yang sering diletakan di atas kepala aku sejak kecil hingga sekarang. Aku cium lembut tangannya dan pipi kedut miliknya. Kereta ayah bergerak meninggalkan perhentian bas yang akan aku pijak lagi pada hari esok.

Untuk kesekian kali aku pijak lagi lantai rumah, minggu ke lima kepulang aku, laju kaki ini melangkah menuju ke arah emak, dia terbaring dan tersenyum memandang. Aku capai tangannya dan mencium tangan, dahi, pipi yang panas 'demam'. Kami berpelukkan dan menangis.
”Adik, tolong emak kejap.” Aku yang berada didapur berlari-lari anak menuju ke arahnya.

”Tolong papah, emak nak ke bilik air.” Tanpa lengah aku terus memaut badan
emak dan mengagahkan diri mengangkat badan emak. Tiba-tiba emak melepaskan tangan dan memandang tepat ke muka aku sambil tersenyum. ku melihat penuh dengan tanda tanya.

”Kesian anak emak. Muka makin cengkung, badan makin kurus.”tangan emak memegang muka aku. Aku membalas dengan senyuman yang tipis.

”Panggil abang. Mintak dia tolong, emak risau, takut adik pulak yang jatuh sekali.”

Saya pun senyum dan memanggil abang untuk membantu. Mujur aku dikurniakan abang yang ramai, enam orang semuanya. Kalau dahulu aku kadang-kadang terfikir, kenapa aku lebih banyak abang daripada kakak. Nah...jawapannya aku peroleh sekarang. (setiap kali waktu memasak aku akan tertekan sebab abang-abang tak pandai bekerja didapur,semua aku dan kakak yang perlu buat). Melihat keadaan emak yang perlu dipapah untuk bangun, aku nekad membawa emak ke hospital. Emak bersetuju dan ia memberikan sedikit kelegaan kepada aku, abang dan ayah, moga sakit emak akan berkurangan.

Malam itu, aku tidur sebelah emak, esok emak akan dihantar ke hospital. Aku dekati emak dan kami berbual-bual. Suara emak perlahan sahaja, tidak lantang seperti sebelum ini.(sebab itu aku kurang bercakap, bimbang suara ni terlebih lantang). Ketika sedang berbual, aku membuat satu permintaan yang menyebabkan emak mengerutkan dahinya.

”Emak, bagi tangan kejap.” aku meminta

”Kenapa?”

”Mintak la, kejap je.”
Emak menghulurkan tangan dan aku sambut. Aku masukkan sesuatu ke dalam tangannya dan aku tutup kemas. Emak yang menyedari perlakuan aku dan terus menarik tangan. Tapi aku tetap pegang tangan emak dan terus mencium tangannya.

”Adik nak kongsi gaji pertama dengan emak. Sikit mana pun gaji ni, adik tetap nak kongsi. Bagi adik rasa macam mana rasanya beri duit pada mak dan nak berkat dari emak.”

Emak yang memandang terus menangis, dan terus menarik aku dalam pelukannya. Tiba-tiba emak menangis dan aku yang memang mudah menangis juga turut menyambut tangisan tu. Kami sama-sama hanyut dalam lautan air mata kerana terlalu sedih. Aku menangis kerana melihat keadaan emak dan aku pasti emak menangis bukan kerana wang, gaji aku yang seciput itu, tetapi lebih daripada itu.(mak lebih tahu tangisannya kerana apa, ada ayat yang tak boleh aku tuliskan disini kerana terlalu peribadi dan kalau aku tuliskan, bimbang ia tidak lagi menjadi sesuatu yang istimewa untuk aku dan emak).

Pagi Ahad itu aku mulakan dengan solat dan mengaji, mak masih terbaring di atas katil. Ayah didapur memasak dan memberi makan pada cucu angkatnya yang berbulu putih (seekor kucing siam yang ayah kutip dari ladang, berwarna putih dan sangat pemalas tangkap tikus, selain itu, dia sangat kuat makan dan mempunyai saiz badan yang besar macam anak gajah, Putih...kau memang tak senonoh). Selesai solat, aku dan abang bawa emak ke bilik air dan mandikannya. Emak aku letakkan di atas kerusi, perlahan-lahan aku siramkan air suam ke kakinya, badan dan kepala (orang cakap kalau mandi dari kaki, dapat kurangkan panas dalam badan). Aku sabun badan emak, dan gosok rambut emak. Semuanya telah selesai dan aku siapkan emak, pakaikan bedak, sikat rambut, pakai baju, kain dan tudung.

Aku sampai ke hospital tepat pukul 9 pagi dan terus membuat pendaftaran. Abang membawa emak masuk ke bahagian kecemasan dengan kerusi roda. Aku sabar menanti sehingga doktor sampai. Tepat jam 11 pagi, emak di bawa masuk ke wad. Seseorang perlu menunggu emak, aku mahu menunggu tapi emak tak benarkan. Katanya aku baru bekerja, kena rajin, tunjukkan kesungguhan pada ketua. Aku pun ikut je cakap mak. Kakak dan abang aku dengan bangga menawarkan diri untuk jaga emak. Diaorang berterusan memujuk aku supaya pulang dan bekerja. Kalau ada jaminan baru aku boleh balik dengan hati sedikit lapang.

Lepas emak selesai makan, buang air dan minum, aku balik untuk berkemas. Pukul 3.30 petang aku akan naik bas untuk pulang ke Kajang. Sebelum naik bas, aku singgah hospital sekali lagi, aku bawa bubur nasi yang dimasukkan macam-macam sayur. (kakak ipar yang masak). Sebelum pergi, aku cium emak sekali lagi. Emak genggam erat tangan aku. Kami menangis sekali lagi. Aku terus berjalan dan sambil pandang mak sampai ke hujung pintu. Petang tu, aku balik dengan dihantar oleh ayah. Aku lambai ayah dan kami berpisah di situ.

NOTA: Aku nekad untuk balik lagi minggu depan. Akan terus begini sehingga emak betul-betul sihat. Insyallah. Kalian tolong doakan emak aku sihat macam dulu. Macam dulu-dulu, sebab ada lagi yang aku mahu kongsikan dengannya.











No comments:

Post a Comment