Thursday, November 5, 2009

HUJAN, ACHIK DAN MARYAMAH KARPOV


Hujan semakin kerap turut sejak kebelakangan ini. Semalam aku terbangun dari tidur kerana terasa sangat sejuk. Lekas-lekas aku tarik selimut dan menutup kaki dan badan. Aku pandang kawan di sebelah, Masyaallah, tidurnya bukan main buas lagi. (anak saudara aku boleh tidur tertib). Mujur dia tak melepasi sempadan tilam aku, kalau tidak mahu aku seret dia diam-diam dan letak depan pintu bilik sewa kami.(jangan beritahu dia rancangan ni, kalian diam-diam saja sudahlah).


Lupakan sebentar niat jahat aku, kembali semula kepada hujan, di kawasan Kajang, hujan dari pagi hingga ke petang. Sejuk bukan main.Tapi tidaklah banjir pula. Cakap pasal banjir, semasa aku berada di tahun satu, masih bergelar pelajar UM, ketika cuti semesta, Jengka telah mengalami banjir yang agak serius sehingga mereka yang tinggal di Ulu Jempol, Jengka 2,3,4,5,6,7 terperangkap ditengah-tengah. Semua jalan utama dinaiki air, dalam masa yang sama, aku menerima khabar tentang kemalangan abang di Kuala Lumpur. Ini kes langgar lari, selepas abang aku dilanggar, manusia mangkuk hayun tu telah melarikan diri (sampai bila kau boleh lari). Aku dan mak tak punya peluang untuk pergi ke melihat abang. Mujur sebelum banjir teruk, abang Ngah dan Andak sudah pergi dahulu ke Kuala Lumpur.


Mereka khabarkan Achik cedera di bahu, dan tangan. Selepas keluar hospital, Achik dibawa pulang ke Jengka untuk berehat dalam dua minggu. Aku seperti biasa, membantu mana yang patut. Potong kuku dia, papah dia nak berjalan, makan...em...dia suap sendiri. Memang dia pesen tak reti potong kuku sendiri. Bila dah beristeri, isteri dia pula yang ambil kontrak potong kuku dia. Kalau kalian nak tahu, aku dan Achik masa kecil dulu kami ni tak sebulu. Suka bergaduh, lawan-melawan, ejek-mengejek. Bila dah besar ni, kami kamceng macam kancing gigi la. Sama minat, suka baju belang-belang, suka warna putih, oren, merah dan hitam.


Achik banyak berubah sejak beberapa tahun ni. Dia sekarang banyak habiskan masa dengan memondok di sebuah pondok pengajian agama di Bentong. Achik bukanlah jahat semasa remaja dia, tapi nakal yng masih terkawal. Bila dia semakin dewasa, dia memilih untuk jadi manusia yang lebih baik. Aku nampak dia berubah menjadi manusia yang bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami apabila dia berkahwin .(kakak ipar aku Azura manusia yang bertuah kerana dapat Achik). Dalam sibuk dia mendalami ilmu agama, tanggungjawab pada mak dan ayah tetap terjaga. Achik memang suami yang ideal la. Doa aku agar Achik dan Kak Zura berkekalan hingga ke akhir hayat (lekas-lekaslah berikan aku anak sedara yang latest).


Maryamah Karpov karya Andrea Hirata, aku sedang tekun membacanya. Baca muka surat pertama, aku dah ketawa seorang. Aduhai lucu tahap gaban cerita dia. (rambut, kumis, dan alisnya hangus sehingga dia seperti pendekar Shaolin), itu baru sedikit. Pada mulanya, aku bukan berniat untuk membeli Maryamah Karpov, cita-cita asal aku mahu memiliki Sang Pemimpi dan Edensor, tetapi sudah kehabisan stoknya. oleh kerana tidak mahu kecewa, aku sambar sahaja buku ini dan dibawa pulang.


Kalian mesti tertanya-tanya, apa persamaan antara Hujan, Achik dan Maryamah Karpov. Aku tulis semua ini kerana ia sebahagian daripada perkara yang aku sayang dan hargai. Pertama, Hujan, aku suka hujan, turunlah selama mana atau selebat mana sehingga banjir, aku tetap suka hujan (walau baju aku susah nak kering). Kedua AKU SAYANG ACHIK, sebab dia abang aku (teman aku bergusti masa kecil). Kerana Achik kemalangan semasa hujan, peristiwa itu buat aku dan Achik bertambah rapat. Ketiga, Maryamah Karpov merupakan novel kegemaran aku yang dibaca ketika musim hujan. (menambah lagi daya imaginasi untuk menyelami cerita Andrea Hirata ni).


Hujan, Achik dan Maryamah Karpov, perkara dan manusia yang buat aku sentiasa damai, terisi dan dihargai. Hujan terus mencurah turun ketika cerita ini aku siarkan di blog milik Nur Qaseh.

No comments:

Post a Comment