Friday, November 6, 2009

SISI LELAKI DAN PEREMPUAN AKU


Cerita ini aku tujukan khas kepada sahabat lelaki aku yang pernah menjadi teman sepermainan sewaktu kecil. (Ali,Loji,Amal,Awie). Kalian sekarang sudah menjadi manusia.


Hari ini aku mahu berkongsi cerita zaman kanak-kanak aku yang sungguh lasak dan ganas. Semasa zaman kanak-kanak, aku lebih suka berkawan dengan budak-budak lelaki. memandangkan aku mempunyai enam orang abang, sedikit sebanyak corak hidup mereka aku ikut. Aku sering dibawa pergi memancing dan menimba ikan dengan mereka. Berbalik semula kepada kawan-kawan lelaki aku ni, mereka berempat suka melakukan aktiviti bersama, termasuk aku. Kalau pergi memancing, aku pasti diajak bersama. (Mungkin mereka nampak aku sebagai lelaki, sebab aku tak suka main pondok-pondok dengan budak perempuan).


Dijadikan cerita, Amal dan Ali ni adik beradik. Sungguhpun mereka ini suka berjalan sehingga tak ingat nasi di rumah, tapi sebelum keluar rumah, mereka harus menyiapkan kerja rumah. (kalau tak pasti kena balun dengan maknya). Selepas makan tengahari barulah operasi yang kami rancang sejak semalam dimulakan. Loji anak kecil yang keluarganya berasal dari Melaka. Awie pula berasal dari Terengganu. (Sikit sahaja aku cerita, sebab tak ada apa yang menarik untuk diceritakan tentang mereka). Aku budak perempuan persis lelaki yang berasal dari Pahang, mempunyai rambut yang pendek ketika ini. pakaian aku, tak mampu diceritakan. Emak melihat pasti menggeleng kepala. Siang malam dengan seluar sukan. Kain Batik!, tak sekali pun aku cuba pakai, sampai sekarang pun kain batik yang aku bawa digunakan untuk mengeringkan rambut. (kainlah batik lalalala...kainlah batik lalalala).


Lokasi permainan kami yang strategik terletak di paling belakang, belakang rumah kami ada paya, dibelakang paya ada kubur di belakang kubur ada ladang sawit. Itulah tempat permainan kami. Ladang sawit,(bangga kami anak felda). Apa sahaja permainan, bermula dari palang tiga hingga bermain layang-layang, semua aku sertai dengan kawan-kawan lelaki aku. Main layang-layang semasa semua pokok sawit telah ditebang. Mana mungkin aku boleh bermain layang-layang sewaktu pokok sawit masih gagah berdiri. itu kerja gila namanya). Bermain layang-layang sehingga Maghrib menyebabkan aku dimarahi ayah (padan muka sendiri). Aku tak kenal erti serik. Serasa bosan bermain layang-layang, aku mengajak kawan bermain di sebatang parit yang terletak di belakang rumah. Parit ni memang banyak ikan dan tidak terkecuali banyak lintah (aku dah mula rasa geli).


Dipendekkan cerita, budak-budak lelaki empat orang ni sudah berkubang didalam parit, aku masih was-was untuk terjun sama. Memikirkan lintah yang galak menonjolkan diri mereka dipermukaan air. Aduh...besar-besar pulak tu. Amal dan Loji tidak putus-putus mengajak aku sama-sama berkubang dengan mereka. Suasana di kawasan itu kelihatan seperti sekawan kerbau berkubang, penuh lumpur (hem...tidak termasuk aku ya kawan-kawan). Setelah lama dipujuk, akhirnya, dalam keadaan berani-berani takut, aku terjun ke dalam parit tersebut. Belum sampai satu saat aku naik semula. Lintah sebesar jari kelengking melintas depan mata aku. Menggelabah aku dibuatnya. Budak-budak hingusan itu sudah malas mahu memujuk aku, mereka terus berendam. (Aku memang suka berkubang itupun jika tak ada Alien lain dalam air). Sedang kami seronok bermain air lumpur yang busuk-busuk wangi tu, terdengar jeritan seseorang dari atas.


"Alamak, Big Boss dah sampai, masak kali ni." Aku bercakap sambil jari dimasukkan ke dalam mulut.


Big Boss itu merupakan emak kepada Awie, orangnya memang garang, tapi tak segarang emak Ali dan Amal. Big Boss datang dengan membawa ranting kayu yang agak besar. Dia turun dari bukit dengan pantas. (aku melihat dia seperti seorang wanita yang siap sedia untuk berperang dengan musuh. ha...ha...ha...teruklah kau sekali ni Awie). Awie yang menyedari keadaan dirinya yang terancam segera berlari keluar dari parit, menyambar bajunya dan seperti pelesit dia menghilangkan diri. Aku yang melihat juga tidak menunggu lama. Aku yang merupakan jaguh lari pecut 100 dan 200 meter mengorak langkah pantas meninggalkan Amal dan Ali yang keras kaku tidak bergerak. Dari jauh aku lihat mereka dimarah dan dipiat telinga (mereka tak disebat sebab Big Boss tak nak pukul anak orang walaupun emak mereka dah benarkan). Aku yang telah selamat terus pulang ke rumah dan mandi. Emak dan ayah yang sedia maklum dengan habitat aku, hanya memandang dan menasihati. (ye...ye...tak kena pukul). Bagaimana mana dengan Loji? Hem...budak tu siang-siang lagi dah lari.


Petang itu aku menerima perkhabaran, Awie selamat menerima hukuman sebat daripada Big Bossnya (uhuk...uhuk...kesiannya). Amal dan Ali tidak terkecuali daripada menerima hukuman daripada ayah mereka. Aku dan Loji yang berada di zon selamat, tidak terkena apa-apa hukuman (fuh...selamat). Walaupun sudah menerima ganjaran daripada perbuatan berkubang seperti kerbau, aktiviti kami tidak pernah berhenti di sini. Setiap perkara yang baru kami teroka untuk memenuhi tuntutan jiwa kanak-kanak yang kami miliki.


Sekarang aku sudah dewasa, usia yang menginjak 23 tahun, jauh sudak aku tinggalkan zaman kanak-kanak. Rambut pun tidak pendek seperti dahulu.Pakaian aku juga tidak seperti budak lelaki (tapi masih tidak suka dan tidak pandai memakai kain batik). Kawan lebih banyak dengan budak perempuan. Aku sekarang agak malu mahu berkawan dengan budak lelaki. Mungkin kerana sudah dewasa, sikap malu bertambah menebal. Tapi apabila berkaitan soal kerja, aku tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mereka. Mencari teman lelaki, jauh sekali aku ingin fikirkan. Emak tidak lagi menggeleng kepala setiap kali melihat aku berpakaian. Tetapi hingga kini emak masih hairan kenapa aku masih tidak suka memakai kain batik. Semua kain batik emak aku jadikan pengering rambut. Amal, Ali, Loji dan Awie, kalian sekarang sudah menjadi manusia bukan. Aku harap kalian jangan bazirkan usia muda dengan perkara yang boleh membuatkan emak dan ayah kalian bersedih. Nur Qaseh rindu gurauan dahulu. Nur Qaseh rindu masa lalu. Nur Qaseh segar dengan kenangan kita masa lalu.

No comments:

Post a Comment